BERITA SEMASA

DUN Negeri Sembilan: Istiadat pembukaan tetap berlangsung tanpa kehadiran Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin.

SEREMBAN – Meskipun tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 tetap berlangsung seperti dijadualkan hari ini.

Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aisah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di bangunan DUN Negeri Sembilan sekitar pukul 9.36 pagi.

Ketibaan Baginda disambut oleh barisan kepimpinan negeri diketuai Yang di-Pertua DUN, Datuk Ibrahim Abd Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Istiadat diteruskan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Baginda melibatkan barisan anggota Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Dewan Undangan Negeri bagi menyempurnakan titah ucapan pembukaan sekitar pukul 10.25 pagi.

Terdahulu baginda dilihat keluar dari Istana Hinggap di sini sempat melambai tangan kepada kumpulan Sekretariat Sokongan dan Menteri Besar.

Kumpulan tersebut sebelum itu menyerahkan Memorandum Sokongan dan Taat Setia Anak Waris, Ibu Soko, Buapak, Lembaga ADAT Luak Nan 4 ke atas baginda.

Penyerahan memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Sekretariat, Prof Dr Mohd Aluwi Sari kepada Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin.

Lewat tengah malam semalam, empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin memaklumkan tidak akan hadir dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin).

Mereka turut menasihatkan agar istiadat tersebut ditangguhkan sementara sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Keputusan berkenaan dibuat susulan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz oleh mereka pada 19 April lalu serta melihat kepada situasi mutakhir ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button