BERITA SEMASAPOLITIK

DUN Johor dibubar, laluan dibuka untuk PRN ke-16

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan secara rasmi hari ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembubaran DUN Johor Darul Ta’zim ke-15 itu berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam sesi menghadap yang berlangsung pagi tadi.

Menurut beliau, watikah pembubaran tersebut diperkenankan selaras dengan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Dengan perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim ke-15 dibubarkan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya dalam sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, di sini, yang turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan rakyat Johor memilih semula kerajaan negeri melalui proses demokrasi, tertakluk kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, keputusan membubarkan DUN dibuat demi memastikan Johor terus mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kukuh serta mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menjalani kempen pilihan raya secara beradab, tertib dan berhemah demi memelihara keharmonian serta semangat muafakat Bangsa Johor.

“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar negeri Johor terus dilimpahi kestabilan, kemakmuran dan keberkatan, selain rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Untuk rekod, penggal DUN Johor sepatutnya berakhir secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan PRN.

Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas meraih kemenangan besar dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 12 kerusi, terdiri daripada 10 kerusi DAP serta masing-masing satu kerusi PKR dan Amanah. Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi manakala MUDA memperoleh satu kerusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button