BERITA SEMASASUKAN

Orang ramai dijemput meriahkan pusingan kedua, ketiga MMC 2024

JOHOR BAHRU – Orang ramai dijemput untuk memeriahkan pusingan kedua dan ketiga Kejohanan Motocross Malaysia (MMC) 2024 yang bakal berlangsung di Trek Motorcross Bandar Tenggara, di sini, pada 16 dan 17 Oktober ini.

Presiden Kelab TQMX, Nizam Mohd Noor berkata, kejohanan itu bakal menampilkan pelbagai aksi luar biasa pelumba berpengalaman yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

“Pastinya ia akan menjadi perlumbaan epik yang dinanti-nantikan oleh peminat motocross seluruh negara.

“Aksi luar biasa dari pelumba berpengalaman, bermula dari usia 6 tahun hingga dewasa, akan menghiasi perlumbaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Kelab TQMX, Nizam Mohd Noor (kiri)

Terdahulu, pusingan pertama Kejuaraan Motocross Malaysia 2024 yang berlangsung di Trek Motocross Ayer Hitam, Johor, telah berakhir dengan penuh aksi menerusi tujuh kategori yang dipertandingkan.

“Kategori Expert dimenangi oleh Mohamad Zubir Hasan Mohamad Kasim yang juga merupakan juara berturut-turut bagi musim pertama dan kedua.

“Kategori MX2 (B) dan MX2 Jr pula dikuasai oleh Eqwan Nazrin Bahrin, diikuti oleh Nik Muhammad Haris bin Nik Sir dalam kategori MX85cc.

Foto ihsan Malaysian Motorcross Championship (MMC).

“Muhamad Hakib Nor Amin Faizal dalam kategori MX50cc, dan Muhammad Zill Qayyim Yusmizan dalam kategori MX65cc. Bagi kategori Rookie 50cc, kemenangan diraih oleh Nur Anis Dayana Mohamad Naeimy,” kata Nizam.

Tambah Nizam, walaupun cuaca tidak menentu dan keadaan trek yang agak mencabar, semua pelumba memberikan yang terbaik tanpa menyerah kalah.

“Kejuaraan Motocross Malaysia terus komited dalam memupuk bakat-bakat muda untuk menjadi pelapis negara dalam sukan ini,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button