KBS tekad perkasa belia, media rakan strategik bina perpaduan
PETALING JAYA – Golongan belia perlu terus diperkasa sebagai aset strategik negara dengan sokongan padu media bagi memastikan aspirasi pembangunan generasi muda dapat direalisasikan secara menyeluruh.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) komited memperkukuh agenda pembangunan belia dan sukan sebagai landasan membina perpaduan nasional serta melahirkan pelapis kepimpinan masa depan.
Menurutnya, peranan media amat penting dalam membantu kementerian menyampaikan dasar dan inisiatif kepada rakyat selain memahami suara sebenar golongan belia di peringkat akar umbi.

“Belia dan sukan merupakan platform strategik untuk membina perpaduan. Anak muda dan atlet boleh menjadi jambatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama dalam negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media yang berlangsung di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) di sini hari ini.
Mengulas persiapan temasya antarabangsa, beliau memaklumkan Malaysia kini memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel serta Sukan SEA 2027 yang bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.

Beliau berkata, usaha memperkukuh disiplin, pembangunan sahsiah dan semangat berpasukan atlet akan terus dipertingkat bagi memastikan kontinjen negara mencapai prestasi lebih baik dan membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa.
Dalam aspek pembangunan belia, beliau memaklumkan kira-kira sembilan juta belia dikenal pasti di negara ini, namun penyertaan dalam pertubuhan belia masih rendah.

Sehubungan itu, KBS melaksanakan pelbagai program kepimpinan dan inisiatif termasuk Rakan Muda serta kalender mega tahunan merangkumi 10 gaya hidup belia di seluruh negara.
Antara inisiatif utama ialah program Sejati MADANI Belia yang menawarkan geran sehingga RM100,000 kepada setiap pertubuhan belia berdaftar, dengan anggaran 2,500 persatuan berpotensi menerima manfaat tersebut bagi memperkukuh aktiviti dan menjana ekonomi organisasi.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian bayaran pendaftaran pertubuhan belia baharu dan yuran pindaan perlembagaan susulan penetapan had umur belia kepada 30 tahun dan ke bawah sebagai langkah menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai gerakan berpersatuan.
Beliau berharap sinergi antara kementerian dan media dapat terus diperkukuh dalam usaha membina generasi muda cemerlang serta menjadikan sukan sebagai medium perpaduan nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








