Sikap ‘ding dong’ Sanusi punca perlawanan dibatalkan – Akmal Nasrullah
SUNGAI BAKAP – Perlawanan bola sepak antara pasukan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa dibatalkan.
Akmal Nasrullah berkata, perlawanan persahabatan di padang Taman Pekatra itu terpaksa dibatalkan kerana tiada kata putus daripada pihak Muhammad Sanusi untuk meneruskan perlawanan yang dirancang sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan mengenai perlawanan itu sepatutnya diumumkan sebelum pukul 3 petang semalam tetapi disebabkan sikap ‘ding dong, ding dong’ pihak lawan, beliau terpaksa menangguhkan pengumuman.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan meneruskan perlawanan menentang pasukan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin, bersama anak muda kawasan itu.
Selain tidak ada pengesahan sehingga pada saat-saat akhir, Akmal juga menyuarakan ketidakpuasan hati apabila pihak Sanusi mengenakan bermacam-macam syarat.
Lebih membimbangkan katanya, pihak lawan mungkin mengubah aturan permainan pada saat akhir untuk memberi kelebihan pada pasukan mereka.
“Kemudian dia tarik balik syarat. Bayangkan esok, saya takut perangai PN (Perikatan Nasional) ni dia suka kalih, silap-silap dia nak main 15 orang.
“Silap-silap tiang gol pun dia kalih. Itu kerja mereka,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di Nibong Tebal malam tadi.
Ahad lalu, Akmal selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pelawaan perlawanan persahabatan bola sepak dan menjemput Muhammad Sanusi hadir membincangkan isu air di kawasan Sungai Bakap.
Muhammad Sanusi kemudiannya menyahut cabaran itu dalam hantaran menerusi Facebook dan meminta Akmal Nasrullah untuk hadir dengan perbelanjaan sendiri bagi menyertai perlawanan tersebut sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap tanpa menggunakan perbelanjaan kementerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








