Kedah FC, Perak FC gagal dapat Lesen Kebangsaan – MFL
KUALA LUMPUR – Tanda tanya mengenai nasib pasukan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super musim depan terjawab apabila kedua-dua pasukan itu gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).
Menurut Pengerusi, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, sejumlah 11 kelab Liga Super dan 2 pasukan AFL A1 yang bertanding pada musim 2024-2025 telah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan.
Katanya, ia sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam pertandingan Liga Super bagi musim 2025-2026.
“Namun begitu, FIB memerlukan masa untuk meneliti dokumen sebelum membuat keputusan pada 22 Mei 2025.
“Bagi memastikan kelab diberikan lesen, mereka perlu dinilai dan mematuhi enam kriteria utama seperti yang dinyatakan dalam MFL CLR, iaitu sukan, infrastruktur, prsonel dan pentadbiran, perundangan, kewangan, dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, Lesen Kebangsaan yang diberikan itu sah untuk satu musim sahaja, iaitu bagi musim 2025-2026.
“Menurut sub-kriteria kewangan F.03 dan F.04 dalam MFL CLR, tarikh akhir bagi pengisytiharan tunggakan kewangan adalah setakat 31 Disember 2024.
“Lapan kelab Liga Super MFL yang telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh FIB ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
“Namun begitu, tiga kelab diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) MFL CLR,” katanya.
Tambahnya, Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan oleh FIB dengan ‘sanction’ di mana kelab-kelab itu perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei ini.
“Kegagalan mematuhi ketetapan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen kebangsaan Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC ditarik balik oleh FIB.
“Sementara itu, dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC juga berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan apabila permohonan Lesen Kebangsaan Luar Biasa dengan merujuk Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2024-2025 bagi saingan Liga Super musim 2025-2026 telah diluluskan oleh FIB,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








