BERITA SEMASAPMX

Bayaran insentif awal penjawat awam signal kepada syarikat swasta supaya naikkan gaji pekerja

PUTRAJAYA – Pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada penjawat awam perlu dijadikan isyarat kepada sektor swasta supaya kadar upah pekerja dinaikkan ke kadar lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, khusus buat syarikat yang mencatat keuntungan tinggi, kenaikan kadar upah boleh menjadi satu galakan untuk meningkatkan produktiviti pekerja.

“Saya juga minta sektor swasta ada yang complaint (mengadu) syarikat untung hingga RM400 juta setahun, tapi upah pekerja tak meningkat langsung,” kata Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan prestasi produktiviti tinggi tapi kadar upah tidak meningkat apatah lagi kajian Jabatan Perangkaan mendapati produktiviti bagi pekerja swasta ada peningkatan, namun kadar upah pekerja meningkat sangat sederhana.

“Jadi saya harap signal (isyarat) diberikan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam juga disambut sektor swasta terutama yang mencatat keuntungan baik. Bagilah tambahan munasabah dalam keadaan yang ada sekarang,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, keputusannya dalam memberikan bayaran insentif awal kajian SSPA sebanyak RM2,000 menerusi Belanjawan 2024 lalu adalah dibuat untuk rangka lebih luas walaupun ia tidak diusulkan Kementerian Kewangan.

Ini kerana, katanya, kajian sistem persaraan perkhidmatan awam itu harus dibuat secara menyeluruh dan komprehensif memandangkan ia tidak dilaksanakan sudah 10 tahun.

“Justeru kajian itu, tidak boleh buat macam kajian biasa, dan semua jabatan atau sektor yang agak ketinggalan atau tidak ada akses mesti diberikan kesempatan untuk mengemukakan pandangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan saya nak semua rumusan itu sampai ke meja kami tatkala kita bincang di peringkat tertinggi supaya ada ruang langsung.

“Saya harap pertengahan tahun depan kena siapkan supaya ada pengumuman penting dalam belanjawan akan datang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button