BERITA SEMASA

MCMC buka 2 kertas siasatan terhadap pempengaruh media sosial

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial telah dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurut MCMC, siasatan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998).

“Bertindak atas aduan rasmi yang diterima, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025.

“Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas, selain cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan itu berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.

MCMC menegaskan, semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.

“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan.

“MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R, bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada,” katanya.

Sebelum ini seorang pempengaruh media sosial yang menggunakan nama Alif Ahmad di akaun Facebooknya mengesahkan telah dipanggil untuk memberi keterangan di MCMC.

Alif mendakwa siasatan yang dijalankan terhadapnya berkaitan ‘scrut’ terhadap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button