Kestabilan dasar, reformasi jadi asas kejayaan Kerajaan MADANI – Anwar
KUALA LUMPUR – Kejayaan Kerajaan MADANI yang dicapai ketika ini didorong oleh kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan padu rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, di peringkat domestik, ekonomi negara terus diperkukuh melalui penekanan terhadap pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pertumbuhan yang inklusif demi manfaat semua lapisan masyarakat.
“Kejayaan Kerajaan MADANI hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.
“Di dalam negara, ekonomi terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar berkata, di peringkat antarabangsa pula, hubungan erat antara kerajaan dengan pelbagai negara dan kumpulan pemimpin dunia telah membuka ruang kepada pelaburan strategik selain memperkukuh kedudukan Malaysia di mata global.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu, hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya, dengan sokongan berterusan keluarga, sahabat dan seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan untuk berkhidmat dengan penuh amanah serta membina sebuah negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








