Tiada halangan geopolitik, Malaysia pilihan pelabur pertahanan – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia menawarkan kelebihan strategik kepada syarikat pertahanan dan aeroangkasa global menerusi dasar berkecuali aktif yang membolehkan rantaian bekalan beroperasi tanpa kekangan politik, sekali gus menjadi tarikan utama pelabur antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut membolehkan pembekal dari Malaysia bekerjasama dengan pelbagai rakan utama dunia tanpa berdepan komplikasi geopolitik yang semakin meruncing ketika ini.
“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif, yang bermaksud kita mengekalkan hubungan kerja dengan semua rakan utama. Pembekal dari Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan anda tanpa kerumitan politik yang sering menyukarkan keputusan perolehan di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Pameran dwitahunan yang memasuki edisi ke-19 itu mempamerkan teknologi serta aset pertahanan elektronik terkini dalam merentasi domain darat, udara dan laut.
Selain itu, pameran berkenaan dijangka menghimpunkan 1,456 syarikat antarabangsa dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat daripada 60 negara pada edisi 2024.
Baca juga : Malaysia tarik pelaburan RM9.5 bilion walau dunia bergolak – Anwar
Anwar menegaskan, kekuatan industri tempatan yang menepati piawaian ketepatan dan akauntabiliti tinggi dalam sektor komersial turut menjadikannya relevan kepada industri pertahanan, memandangkan kedua-duanya berkongsi disiplin serta tenaga kerja yang sama.
“Kerajaan akan memastikan perlindungan harta intelek dilaksanakan secara tegas, kawalan perdagangan strategik dipatuhi dan kontrak dihormati tanpa pengecualian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan, sistem autonomi dan keupayaan siber memerlukan kerangka kawal selia yang lebih kukuh, dengan kerajaan dan industri perlu memainkan peranan bersama dalam menentukan penggunaannya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan kerajaan adalah menyediakan asas yang kukuh bagi membolehkan keputusan komersial dibuat secara yakin, selain menyeru pemain industri global untuk meneroka kerjasama lebih erat dengan pengeluar tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















