Malaysia tarik pelaburan RM9.5 bilion walau dunia bergolak – Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia terus muncul sebagai destinasi pelaburan kukuh apabila berjaya menarik aliran masuk dana antarabangsa melebihi AS$2 bilion (kira-kira RM9.5 bilion) ke dalam bon tempatan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara yang kekal stabil meskipun ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di Timur Tengah yang menggoncang pasaran dunia ketika ini.
Beliau berkata, pelaburan itu disokong pertumbuhan 5.2 peratus tahun lalu selain nilai ringgit yang muncul sebagai mata wang terbaik Asia bagi dua tahun berturut-turut.
Menurut beliau, Malaysia turut mencatat rekod pelaburan tertinggi khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa hasil komitmen berterusan kerajaan melaksanakan reformasi dasar serta memperkukuh libat urus dengan pelabur global.
“Pelabur melihat kerajaan yang menunaikan janji, ekonomi yang kekal bertahan ketika keadaan global merosot serta keupayaan negara menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia,” katanya:
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Pameran dwitahunan yang memasuki edisi ke-19 itu mempamerkan teknologi serta aset pertahanan elektronik terkini dalam merentasi domain darat, udara dan laut.
Selain itu, pameran berkenaan dijangka menghimpunkan 1,456 syarikat antarabangsa dari 63 negara berbanding 1,324 syarikat daripada 60 negara pada edisi 2024.
Dalam pada itu, Anwar berkata, syarikat tempatan kini terlibat dalam pengeluaran komponen kritikal seperti struktur sayap pesawat komersial, komponen enjin aero serta pemprosesan cip semikonduktor yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan global.
“Syarikat-syarikat di sini mengeluarkan struktur sayap bagi beberapa pesawat komersial yang paling banyak digunakan di dunia. Mereka juga menghasilkan komponen berketepatan tinggi untuk enjin aero bagi penerbangan jarak jauh merentasi setiap benua.
“Kilang semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim mengendalikan pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.
“Sebuah syarikat milik Malaysia memegang status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan menghasilkan komponen di Malaysia yang hanya dipercayai kepada segelintir negara untuk mengeluarkannya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















