Malaysia sambut pelan gencatan senjata AS-Iran, gesa rundingan telus tanpa helah
KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan terbaharu dalam konflik antara Amerika Syarikat dan Iran susulan pelan 10 perkara yang dikemukakan Tehran dan diterima secara positif oleh Washington.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan itu memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di rantau berkenaan, malah kepada seluruh dunia.
Menurutnya, proses rundingan perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta komitmen tinggi bagi mencapai penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi rantau tersebut.
“Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya proses itu diselubungi penipuan dan helah dua muka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Anwar menegaskan, pelan 10 perkara itu perlu diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang komprehensif, bukan sahaja melibatkan Iran, malah turut merangkumi Iraq, Lebanon dan Yemen.
Tambah beliau, pihak-pihak terlibat juga bertanggungjawab memastikan penamatan pembunuhan beramai-ramai serta penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang disifatkan berani dan tidak mengenal penat dalam membantu merealisasikan perkembangan tersebut.
Katanya, kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak tanpa memihak mencerminkan semangat solidariti umat Islam serta tanggungjawab antarabangsa yang tinggi.
“Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapkan segala usaha ke arah itu,” ujarnya.
Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa memastikan akses bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat konflik berkenaan.
“Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan berkekalan. Dunia tidak mampu untuk menerima sebarang kegagalan,” katanya.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh Rumah Putih di platform X, beliau berkata, langkah itu tertakluk kepada persetujuan Iran untuk membuka Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.
Menurutnya, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama Shehbaz Sharif serta Panglima Tentera Pakistan, Asim Munir yang memohon agar tindakan ketenteraan ditangguhkan.
Tambah beliau, penangguhan itu akan berfungsi sebagai gencatan senjata dua hala sekali gus membuka ruang kepada rundingan lanjut antara Amerika Syarikat dan Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















