
Liga Super: JDT bangkit benam NSFC 5-3
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 5-3 dalam perlawanan penuh mendebarkan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Tuan rumah dikejutkan dengan dua jaringan awal skuad Hobin Jang Hobin menerusi Joseph Esso pada minit kelapan dan Jovan Motika hasil lorongan bijak Alexander Agyakwa.

JDT hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-20 melalui tandukan Jon Irazabal, namun Agyakwa cemerlang menafikan bola di atas garisan gol. NSFC kemudian menambah jaringan apabila Motika mudah menyempurnakan hantaran Agyakwa.
Taktik memasukkan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-30 mengubah rentak permainan Harimau Selatan.
Hantaran sepakan penjuru Arif Aiman disambut Irazabal untuk gol pertama JDT sebelum kesilapan hantaran ke belakang oleh Wai Lin Aung dimanfaatkan Joao Figueiredo bagi gol penyamaan 2-2 sebelum rehat.
Babak kedua menyaksikan Irazabal menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-57 sebelum Arif Aiman menambah gol keempat JDT seminit kemudian.
NSFC pantas merapatkan jurang menerusi gol kedua Motika pada minit ke-60.
Harimau Selatan berpeluang menambah jaringan melalui sepakan penalti, namun sepakan Jairo Da Silva tersasar tinggi.
Gol kelima JDT hadir pada masa kecederaan menerusi aksi akrobatik Bergson Da Silva, sekali gus menyamakan rekod Indra Putra Mahayuddin sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 106 gol.
Kemenangan itu mengekalkan rekod cemerlang JDT di laman sendiri dan memberi amaran bahawa mereka kekal sebagai pencabar utama mempertahankan gelaran musim ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








