WRC 2026: 12 juara bakal wakili Malaysia ke Beijing
SHAH ALAM – Seramai 12 juara World of Robotics Championship (WRC) 2026 berpeluang membawa nama Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa di Beijing, China, pada 2027 selepas menjuarai kategori masing-masing dalam kejohanan itu.
Pengerusi World of Robotics Sdn Bhd, Zainureen Mohd Nor berkata, penganjur akan menaja tiket penerbangan kepada johan bagi kesemua 12 kategori yang dipertandingkan sebagai usaha membuka laluan kepada bakat muda negara bersaing di pentas antarabangsa.

Memurutnya, kejohanan edisi kelapan yang berlangsung di Management and Science University (MSU) pada 24 hingga 25 Oktober lalu menyaksikan penyertaan 136 pasukan daripada 91 sekolah di seluruh negara.
“Pertandingan itu bukan sahaja menguji kemahiran peserta dalam membina dan memprogram robot, malah memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi cabaran praktikal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah WRC 2026 disempurnakan Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Madya Ir Dr Ahmad Mukifza Harun, yang mewakili Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu.
Ahmad Mukifza berkata, Malaysia perlu membangunkan keupayaan untuk mereka bentuk, membangunkan dan mengkomersialkan teknologi sendiri, bukan sekadar bergantung kepada teknologi yang dihasilkan pihak lain.
“Pertandingan robotik seperti WRC penting untuk mencungkil bakat muda sejak peringkat awal, selain membina kemahiran kejuruteraan, pemikiran kritis, kreativiti dan daya tahan dalam kalangan pelajar.
“Pendedahan ke peringkat antarabangsa pula memberi peluang kepada juara menguji keupayaan, menimba pengalaman dan bersaing dengan peserta dari negara lain, sekali gus memperluas pengetahuan dalam bidang teknologi,” katanya lagi.
Penganjuran WRC selama lapan tahun turut memperkukuh usaha membangunkan bakat robotik negara, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030.
Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, kemahiran robotik berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan, penjagaan kesihatan dan logistik.
Penganjur berharap kejohanan itu terus menjadi medan melahirkan generasi inovator yang bukan sahaja mampu mencipta dan mengendalikan robot, malah menghasilkan teknologi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








