BERITA SEMASADALAM NEGERI

Graduan TVET ditawar tajaan penuh sambung pengajian keusahawanan – TPM

SHAH ALAM –SHAH ALAM – Peluang keemasan menanti graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila mereka ditawarkan pembiayaan penuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan di Management and Science University (MSU).

Inisiatif istimewa di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai langkah strategik melahirkan lebih ramai usahawan teknikal profesional dalam negara.

“Saya yakin tidak semua lepasan TVET ingin bekerja makan gaji. Ada antara mereka yang bercita-cita menjadi usahawan, dan peluang ini khusus untuk mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program TVET di Dewan Canselor MSU, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid mencabar MSU untuk menggandakan penawaran kursus TVET daripada 100 kepada 200 menjelang tahun 2030.

“Kita akan bantu dari segi pembiayaan supaya lebih ramai pelajar berpeluang meneruskan pengajian dalam bidang ini,” katanya.

Menurut beliau, sebuah modul khas sedang dibangunkan bersama Majlis TVET Negara dan MSU bagi membolehkan pelajar diploma serta ijazah memindahkan kredit pengajian sedia ada. Mereka hanya perlu menambah beberapa subjek tertentu untuk melayakkan diri menerima diploma eksekutif dalam bidang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut meletakkan sasaran agar semua institusi TVET termasuk MSU mencapai kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus menjelang 2028.

“Kadar kebolehpasaran nasional sekarang adalah 95.1 peratus, dan MSU sudah melepasi paras itu. Namun saya mahu mereka capai 100 peratus, dan satu anugerah khas akan diberikan jika berjaya,” ujarnya.

Tambahnya, sasaran itu selari dengan pendekatan konsep ‘teaching factory’ yang memberi penekanan kepada latihan industri, iaitu 70 peratus pembelajaran berlaku di lapangan dan hanya 30 peratus di dalam bilik kuliah.

“Kaedah ini membuka peluang lebih awal kepada syarikat-syarikat tempatan dan pelabur luar negara untuk mengenal pasti serta menawarkan pekerjaan kepada pelajar sebelum mereka menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kejayaan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dalam bidang aeroangkasa yang mana para pelajar ditawarkan pekerjaan oleh syarikat penyelenggaraan pesawat (MRO) seperti Airbus dan Boeing sebelum menamatkan pengajian.

“Malah, sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang menubuhkan pusat MRO di Subang telah menawarkan 100 tempat khas kepada pelajar TVET,” katanya.

Jelas beliau, usaha sedang digiatkan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi menjadikan Malaysia hab utama MRO di rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button