
Anwar mahu rakyat lebih banyak baca bahan intelektual
RIYADH – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitik beratkan pembacaan bahan berbentuk intelektual yang berlandaskan hujah dan fakta dalam kalangan rakyat negara ini.
Anwar berkata, keperluan terhadap bahan bacaan dengan kisah-kisah yang dapat membangkitkan semangat membaca (iqra’) dan mendorong tradisi berfikir rasional (aqliyah) itu penting untuk membuka pemikiran seseorang dan menolak ketaksuban dan fitnah.
“Saya pilih untuk menelaah Dewan Masyarakat dan amat kagum dengan bahasa, mutu karya dan pilihan rencana menarik dengan tema ‘debat hujah’ yakni usaha mendorong ke arah wacana segar berlandaskan hujah dan fakta serta menolak ketaksuban dan fitnah.
“Puisi pilihan ‘Bahasa Tanpa Kasta’ karya Abizal (Miri) ternyata mengalirkan jernih budi, menyejukkan kalbu setiap insan, menyeberangi sempadan benua, usia dan zaman,” katanya dalam catatan semasa penerbangan beliau ke Riyadh.
Katanya, majalah yang membahas politik, hujah, dan ulasan buku seperti ‘The History of Java’ serta penulisan terhadap pemikir seperti George Santayana, merupakan pengolahan yang teliti dan berharga.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan kerisauan apabila majalah seperti Dewan Masyarakat tidak mendapat sambutan yang besar di kalangan generasi muda di sekolah dan universiti.
“Kekhuatiran saya kerana majalah seperti Dewan Masyarakat tidak menjadi bacaan popular anak muda di sekolah dan universiti,” ujarnya lagi.
Anwar di Riyadh dalam lawatan kerja rasmi menghadari Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Pada lawatan itu, Anwar juga dijadualkan memenuhi undangan khas oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








