16 maut, 130 cedera dalam serangan dron Rusia di pusat beli-belah Ukraine
LONDON – Sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala 130 lagi cedera, termasuk 23 kanak-kanak, selepas serangan dron Rusia mengenai sebuah pusat beli-belah di bandar Kryvyi Rih, Ukraine, pada Jumaat.
Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan dengan angka korban dikhuatiri terus meningkat.
Menurut pihak berkuasa Ukraine, beberapa dron jenis Shahed buatan Rusia menyerang pusat beli-belah berkenaan ketika dipenuhi orang awam.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dymtro Lubinets berkata, orang ramai berada di pusat berkenaan untuk menjalankan urusan harian termasuk membeli-belah, bekerja dan meluangkan masa bersama keluarga.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula mendakwa serangan itu menggunakan taktik ‘double-tap’, iaitu serangan kedua dilancarkan ke lokasi sama selepas pasukan penyelamat mula tiba bagi membantu mangsa serangan pertama.
Kryvyi Rih merupakan bandar kelahiran Zelenskyy yang menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan amat sinis dan keji, selain memberi amaran Ukraine akan bertindak balas.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Sabtu mendakwa Kyiv telah membuka ‘kotak Pandora’ susulan serangan Ukraine terhadap sasaran ekonomi Rusia.
Putin memberi amaran Moscow akan bertindak balas dengan menyasarkan sektor ekonomi Ukraine yang paling sensitif.
“Rejim Kyiv mahu merosakkan ekonomi kita. Apa yang dilakukannya? Ia sendiri telah membuka kotak Pandora ini. Jadi, bersedialah untuk tindak balas yang menyasarkan sektor ekonomi paling sensitif,” katanya kepada wartawan Rossiya-1.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








