Selangor kekal negeri paling ramai penduduk, catat kelahiran dan kematian tertinggi suku pertama 2026
SHAH ALAM – Selangor terus mendominasi sebagai negeri paling padat di Malaysia apabila merekodkan jumlah penduduk paling ramai iaitu 7.44 juta orang bagi suku pertama 2026, selain mencatat angka kelahiran dan kematian tertinggi di negara ini.
Data terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) melalui laporan Perangkaan Demografi Mengikut Negeri, Suku Tahun Pertama 2026 menunjukkan Selangor menyumbang 21.6 peratus daripada keseluruhan 34.37 juta penduduk Malaysia setakat tempoh berkenaan.
Negeri itu turut merekodkan 17,990 kelahiran hidup, bersamaan 19 peratus daripada jumlah nasional, menjadikannya negeri tertinggi bagi kadar kelahiran diikuti Johor dengan 11,487 kelahiran dan Sabah sebanyak 9,800 kelahiran.
Bagaimanapun, dalam tempoh sama, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi di negara ini iaitu 8,042 kes atau 16.4 peratus daripada keseluruhan kematian nasional.
Jumlah itu mengatasi Johor yang merekodkan 6,024 kematian serta Sabah sebanyak 4,323 kes kematian.
Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 94,807 kelahiran hidup pada suku pertama 2026, menurun berbanding 97,045 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, jumlah kematian di seluruh negara turut mencatatkan penurunan kepada 47,157 kes berbanding 49,863 kes pada suku pertama 2025.
Dalam perkembangan lain, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan jumlah kelahiran hidup paling rendah iaitu 294 kelahiran, manakala Putrajaya mencatatkan angka kematian terendah dengan hanya 81 kes.
Johor dan Sabah pula kekal sebagai negeri kedua dan ketiga paling ramai penduduk di Malaysia dengan masing-masing 4.22 juta dan 3.77 juta orang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







