Kerajaan Selangor perkemas tindakan terhadap rumah ibadat tanpa kebenaran – MB
BESTARI JAYA – Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, namun dilaksanakan dengan pendekatan berhemah bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mempercepat pelaksanaan tindakan sedia ada susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yangt idak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan.
Menurut beliau, Selangor mempunyai sistem dan mekanisme tersusun melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang ditubuhkan bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat secara menyeluruh dan teratur.
“Sepanjang 15 tahun lalu, kita bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi sesuai dan sah, malah turut mengambil tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur.
“Puluhan tindakan telah dilaksanakan dan rekod itu ada sejak 2015 lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari di sini hari ini, lapor Bernama.
Amirudin berkata, susulan itu kerajaan negeri akan memperkemas kaedah tindakan seiring dengan undang-undang di samping menjamin keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, PBT turut terbabit dalam jawatankuasa yang diselaraskan LIMAS dengan mengambil kira pelbagai isu antaranya status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta kesan terhadap kawasan sekitar.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan.
Baginda juga berkenan dengan pendirian dan ketegasan Kerajaan Persekutuan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut undang-undang.
Titah Sultan Sharafuddin, pendirian tegas itu selari dengan prinsip yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan tadbir urus yang baik.
Semalam, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








