Pembelaan Najib Razak pertimbang permohonan pengampunan baharu
PUTRAJAYA – Pembelaan Datuk Seri Najib Razak kini sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan sekali lagi permohonan pengampunan penuh, bergantung kepada perkembangan berkaitan Titah Adendum yang didakwa wujud sebelum ini.
Menurut Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, permohonan kedua itu sememangnya dalam perancangan pihaknya dan tidak pernah diketepikan.
“Kita tidak tolak langsung, memang selalu dalam perkiraan kami,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu membolehkan bekas Perdana Menteri itu meneruskan proses di Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan perintah tersebut.
Panel tiga hakim yang membuat keputusan itu diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















