BERITA SEMASAPOLITIK

160 ketua UMNO bahagian sepakat mahu PM laksana Titah Adendum

KUALA LUMPUR — Seramai 160 ketua UMNO bahagian seluruh negara sebulat suara mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan Titah Adendum yang memperkenankan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, tiada sebarang alasan lagi untuk kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan titah terhadap bekas perdana menteri itu.

“Tahanan rumah ini adalah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” katanya.

Desakan itu dinyatakan dalam satu sidang media khas selepas perjumpaan khas ketua-ketua bahagian UMNO di ibu negara malam ini.

Baca juga : Titah Adendum: UMNO mohon tahanan rumah Najib dilaksana ikut Perlembagaan

Dalam ketetapan sama, Mohd Shafei berkata, ketua-ketua UMNO bahagian juga mendesak supaya Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu.

Tegas beliau, sebagai penasihat undang-undang tertinggi negara, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukannya menjadi penghalang kepada pelaksanaannya.

Selain itu, UMNO turut mencadangkan agar semua bahagian yang belum bersidang membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum ini dalam persidangan masing-masing sebagai bukti solidariti parti.

“Usul khas ini penting bukan sahaja untuk menegaskan pendirian parti, malah membuktikan sokongan padu UMNO terhadap institusi Diraja serta usaha memperjuangkan keadilan untuk semua,” katanya.

UMNO sebelum ini dilaporkan memohon agar pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan itu dibuat susulan pengesahan oleh Peguam Negara berhubung kewujudan Titah Adendum yang memperakui tahanan rumah terhadap Najib.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menafikan kewujudan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Namun begitu, AGC mempertikaikan prosedur bagi mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button