Rumah Bangsa model politik baharu tarik sokongan anak muda – Tengku Muhammed Hafiz
KUALA LUMPUR – Idea Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO disifatkan sebagai satu model politik baharu yang segar, inklusif dan selari dengan realiti serta aspirasi generasi muda masa kini.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, pendekatan politik berteraskan nostalgia semata-mata tidak lagi menarik minat anak muda, sebaliknya golongan itu mahukan ruang yang memberi makna, peranan dan hala tuju masa depan yang jelas.
Menurutnya, Rumah Bangsa perlu difahami bukan sekadar simbol atau slogan, sebaliknya berfungsi sebagai wadah yang membina rasa memiliki dalam kalangan generasi muda terhadap parti dan perjuangan.
“Rumah Bangsa mesti menjadi tempat anak muda merasakan diri mereka diterima, didengar dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada perjuangan, bukan sekadar penonton atau pentaksub,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, platform berkenaan perlu membuka ruang kepada bakat serta suara generasi baharu untuk berkembang, sekali gus membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan politik negara.
Muhammed Hafiz turut berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan UMNO terus kekal relevan dalam landskap politik semasa yang semakin dinamik.
“Rumah Bangsa perlu mencerminkan wajah masa depan UMNO yang berteraskan nilai dan jati diri, namun berani melakukan pembaharuan.
“Kita berpijak pada sejarah, tetapi melangkah seiring dengan aspirasi anak muda,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, dengan pendekatan tersebut, UMNO bukan sahaja berupaya menarik sokongan generasi muda, malah mampu membina barisan pelapis yang benar-benar merasakan perjuangan parti itu dekat dan bermakna dalam kehidupan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








