KPMB, KPKPM tawar biasiswa RM15 juta untuk pelajar asnaf, B40
CYBERJAYA – Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) dengan kerjasama Kolej Pengajian Keselamatan dan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) memperuntukkan RM15 juta dana biasiswa pendidikan menerusi Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara bagi memperluaskan peluang akademik kepada pelajar daripada golongan asnaf, anak yatim dan kumpulan B40 di seluruh negara.
Pengerusi KPMB, Datuk Shamsudin Mat berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KPMB dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, selain membuka laluan pendidikan yang lebih inklusif kepada pelajar khususnya dalam bidang kritikal kepada pembangunan negara.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara. Melalui kerjasama strategik ini, KPMB dan KPKPM beriltizam menyediakan laluan pendidikan yang mampan, berdaya saing serta berorientasikan kebolehpasaran,” kata bekas Komandan PULAPOL Kuala Lumpur itu di sini, semalam.
Majlis menyerahkan cek antara KPMB dengan KPKPM itu turut dihadiri Pengasas KPMB dan KPKPM, Datuk Seri Al Farid Abdul Hajis; Ketua Pegawai Eksekutif KPKPM, Dr Farah Mazwina Abdul Hajis; dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMB, Dr Amir Hamzah Abdul Rajak.
Shamsudin berkata, bagi fasa permulaan, dana RM15 juta itu akan digunakan bagi membiayai yuran pengajian pelajar (yang layak) di peringkat sijil dan diploma, khususnya dalam bidang keselamatan dan penyiasatan.
Antara bentuk bantuan ditawarkan ialah pembiayaan sehingga RM16,450 atau 50 peratus daripada yuran pendaftaran dan yuran pengajian peringkat diploma bagi pelajar kategori asnaf dan anak yatim, sekali gus membolehkan mereka memulakan pengajian tanpa bayaran awal kepada kolej.
“Bagi pelajar daripada kumpulan B40 pula, pembiayaan sehingga RM9,600 atau 30 peratus daripada yuran pengajian peringkat diploma disediakan dengan bayaran pendaftaran minimum.
“Bagi peringkat sijil, pembiayaan ditawarkan sehingga RM15,000 bagi setiap pelajar yang layak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPKPM, Dr Farah Mazwina Abdul Hajis berkata, pihaknya komited menyediakan program pengajian yang berteraskan keperluan industri keselamatan dan penyiasatan, dengan penekanan terhadap pembentukan disiplin, sahsiah serta kompetensi profesional pelajar.
Menurut beliau, latihan praktikal komprehensif seperti latihan menembak, kawat, berkuda, seni pertahanan diri dan pengendalian anjing K9 menjadi antara kekuatan program pengajian ditawarkan KPKPM dalam melahirkan graduan yang bersedia memasuki alam pekerjaan.
“Kerjasama bersama KPMB ini memperkukuh usaha kami memastikan akses pendidikan tidak terhalang oleh kekangan kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengurusan KPKPM memaklumkan bahawa pentadbiran kolej itu telah distruktur semula sepenuhnya bermula Ogos 2025 termasuk penambahbaikan aspek tadbir urus, pengurusan akademik dan kerjasama strategik, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Farah berkata, KPMB dan KPKPM turut menegaskan bahawa kedua-dua institusi merupakan entiti yang berdaftar sah dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan IPTS itu sebagai satu scam atau penipuan di media sosial.
“Ada pihak yang menuduh kolej ini sebagai satu scam kerana tawaran yang ‘terlalu baik’ kepada semua. Bagaimanapun pihak kami telah membuat laporan polis bagi melindungi nama kami,” katanya.
KPMB kini dalam perancangan untuk memperluaskan kemasukan pelajar ke kolej itu melalui siri jelajah ke beberapa buah negeri dalam masa terdekat.
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat memohon boleh menghubungi talian 03-8084 9999 atau berhubung terus dengan Pegawai Unit Biasiswa di 012-368 9999.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








