BERITA SEMASADALAM NEGERI

YAPEIM salur RM470,000 sempena Aidilfitri MADANI

PUTRAJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan peruntukan RM470,000 menerusi Program Aidilfitri MADANI dalam usaha memperkasa kebajikan masyarakat, di samping melancarkan ibu pejabat baharu agensi itu di Menara Ochre, Alamanda.

Majlis penyerahan sumbangan dan perasmian pejabat baharu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan YAPEIM dalam menjayakan kebajikan negara melalui pendekatan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan sosial.

“Pelaksanaan program ini adalah manifestasi tekad kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan, terutama ketika menyambut hari kebesaran Islam seperti Aidilfitri,” ujar beliau.

Program Aidilfitri MADANI memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara bentuk bantuan yang disalurkan termasuklah sumbangan tunai kepada keluarga miskin, pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan serta institusi terpilih.

Sebahagian daripada peruntukan juga digunakan untuk penganjuran majlis keraian dan kemasyarakatan, selain latihan keusahawanan dan pembangunan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan golongan B40.

Turut diserahkan ialah rumah kepada tiga peserta serta bantuan baik pulih rumah kepada lima keluarga melalui Program Sinar Lestari YAPEIM, menjadikan jumlah bantuan di bawah program tersebut mencecah RM390,000.

Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, Program Aidilfitri MADANI bukan hanya menumpukan kepada pemberian bantuan kewangan semata-mata, malah berperanan sebagai platform mempromosi dan memperkenalkan pelbagai inisiatif sedia ada di bawah YAPEIM termasuk skim infak dan kolaborasi bersama sektor korporat.

“YAPEIM percaya kepada pendekatan menyeluruh dalam membantu masyarakat. Melalui program ini, kami tidak hanya menyampaikan sumbangan, tetapi juga membuka ruang kerjasama strategik dengan rakan korporat dalam memperkukuh sokongan terhadap pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat,” jelas beliau.

Program Aidilfitri MADANI melibatkan sembilan lokasi pelaksanaan di seluruh negara, dengan lokasi pertama di Putatan, Sabah yang mencatatkan nilai sumbangan sebanyak RM46,500.

Sebelum itu, YAPEIM turut memperuntukkan RM1.2 juta bagi menjayakan Program Ramadan MADANI yang memanfaatkan lebih 7,700 pelajar di lebih 25 lokasi, terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah daripada keluarga miskin dan kumpulan B40.

Sejak 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah menyalurkan bantuan kepada lebih 14 juta penerima manfaat di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan mencecah RM725 juta, meliputi tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan kemasyarakatan.

Selain program kebajikan, YAPEIM turut aktif dalam menyediakan pembiayaan mikro melalui Ar-Rahnu YAPEIM yang mempunyai 204 cawangan di seluruh negara.

Sehingga Mac 2025, perkhidmatan itu telah memberi manfaat kepada hampir satu juta penggadai dengan jumlah pembiayaan bernilai RM17.5 bilion dan nilai marhun keseluruhan sebanyak RM26.9 bilion sejak tahun 2000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button