BERITA SEMASA

Tuaian sulung 40kg cendawan tiram bukti kejayaan Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM di Melaka

MELAKA – Projek Pembangunan Komuniti yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Masjid As-Syuja’ah, Merlimau berjaya menghasilkan tuaian sulung 40 kilogram cendawan tiram hasil usaha usahawan asnaf yang terlibat dalam program berkenaan.

Kejayaan itu dilihat sebagai bukti keberkesanan pendekatan pembangunan sosioekonomi yang digerakkan YAPEIM dalam membantu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf melalui aktiviti keusahawanan yang mampan.

yapeim
Cendawan tiram segar siap dibungkus untuk jualan. 

YAPEIM dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan projek tersebut, pihaknya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 yang meliputi pembangunan prasarana penanaman cendawan serta penyediaan modul latihan intensif kepada peserta.

“Pelaburan strategik ini bertujuan melengkapkan usahawan asnaf dengan kemahiran teknikal serta pengetahuan pengurusan perniagaan bagi memastikan projek yang dijalankan mampu memberikan impak jangka panjang kepada komuniti setempat,” katanya.

Pengerusi Masjid As-Syuja’ah, Mohd Nur Hafiz Harun berkata, inisiatif yang diperkenalkan YAPEIM terbukti membantu usahawan asnaf menjana pendapatan tambahan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan sosial.

Katanya, projek penanaman cendawan tiram itu bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada peserta, malah berjaya menghidupkan rantaian ekonomi mikro serta memperkukuhkan peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi masyarakat.

yapeim
Projek penanaman cendawan tiram itu berjaya menghidupkan rantaian ekonomi mikro serta memperkukuhkan peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi masyarakat.

“Setiap sumbangan yang disalurkan melalui Program Infak YAPEIM kini diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang mampu membantu asnaf berdikari dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Tuaian pertama ini membuktikan bahawa sumbangan masyarakat dapat menghasilkan impak nyata dalam membina kekuatan ekonomi komuniti serta melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, YAPEIM menyifatkan pencapaian tersebut sebagai petunjuk bahawa model pembangunan sosioekonomi ummah yang dilaksanakan berada di landasan yang tepat.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan menyeru seluruh lapisan masyarakat serta sektor korporat untuk terus menyokong usaha memperkasa ekonomi asnaf melalui amalan infak yang lebih strategik dan berterusan.

Menurut YAPEIM, kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan lebih ramai usahawan asnaf dapat dibimbing, dibangunkan dan diperkasakan sehingga mampu menyumbang semula kepada masyarakat pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button