BERITA SEMASA

Penyelewengan RM230 juta NGO tidak libat dana institusi zakat – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Penyelewengan dana berjumlah RM230 juta oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tular sejak semalam dipercayai diperoleh daripada sumbangan pelbagai sumber dan bukannya daripada peruntukan badan zakat.

Namun, NGO berkenaan didapati gagal menyalurkan sebahagian kutipan yang sepatutnya menjadi hak badan zakat sebuah negeri kepada pihak berkuasa berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu penyelewengan terbaharu membabitkan sebuah NGO berkenaan tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.

“Dalam siasatan terkini, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai sumber termasuklah komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk diserahkan kepada badan zakat.

“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah.

“Perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang dan siasatan dijalankan oleh SPRM,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu yang ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2 petang.

Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.

Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.

Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button