
Konvensyen parti politik dalam Kerajaan Perpaduan 14 Mei depan
KUALA LUMPUR – Kesemua 20 parti politik dalam Kerajaan Perpaduan akan berkumpul dalam satu konvensyen di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, pada 14 Mei depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berlata, konvensyen itu diadakan bagi memperlihatkan perpaduan dalam kalangan parti gabungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebanyak 20 parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dengan empat gabungan utama dalam parti akan berada pada satu tempat dan pada waktu yang sama.
“Ia bagi kita memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan dan yang paling penting dukungan daripada UMNO cukup padu,” kata Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO 2023-2026 yang pertama, di sini semalam.
Pada Ahad lepas, Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, berkata satu konvensyen bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, konvensyen itu juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Mengenai rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Ahmad Zahid berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ketua Sekretariat untuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan akan memperincikan butiran yang akan dibincangkan,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid berkata namun perkara yang penting untuk UMNO ketika ini adalah untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dengan terus mendukung sepenuhnya pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai-pegawai kerajaan setiap negeri sepanjang Ramadan tahun ini.
“Kita akan juga libatkan rakan daripada parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama menghadiri majlis (berbuka puasa ini) setiap hari di negeri berlainan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








