BERITA SEMASA

UPTM diminta terus lahirkan profesional berkemahiran tinggi, berteraskan nilai

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) digesa supaya terus memainkan peranan penting dalam melahirkan barisan profesional masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, serta memiliki kemahiran tinggi selari dengan keperluan industri semasa.

UPTM diminta terus lahirkan profesional berkemahiran tinggi, berteraskan nilai
MAJLIS KONVOKESYEN KE-3 UNIVERSITI POLY-TECH MALAYSIA (UPTM) di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan itu sejajar dengan falsafah Applied Professional Education yang diterapkan UPTM, iaitu pendekatan pendidikan yang menekankan keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan pembentukan sahsiah graduan.

Menurut beliau, UPTM tidak seharusnya sekadar melahirkan graduan berorientasikan peperiksaan, sebaliknya membina modal insan berintegriti, beriltizam serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

MAJLIS KONVOKESYEN KE-3 UNIVERSITI POLY-TECH MALAYSIA (UPTM) di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Majlis Konvokesyen ke – 3 Universiti Poly-Tech Malaysia di WTC Kuala Lumpur

“Pensijilan profesional bagi hampir 70 peratus program pengajian serta pengiktirafan status Platinum oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) membuktikan komitmen UPTM terhadap kecemerlangan dan kesediaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPTM ke-3 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan itu turut diperkukuh dengan kadar kebolehpasaran graduan UPTM yang mencatatkan peningkatan kepada 93.4 peratus berbanding 91.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Majlis Konvokesyen ke - 3 Universiti Poly-Tech Malaysia di WTC Kuala Lumpur
Graduan PHD Majlis Konvokesyen ke – 3 Universiti Poly-Tech Malaysia di WTC Kuala Lumpur

“Peningkatan ini mencerminkan bahawa pendekatan ‘applied and industry-ready’ benar-benar menjadi teras dalam DNA UPTM.

“Saya mahu kadar ini ditingkatkan kepada 95 peratus pada tahun hadapan menerusi program yang lebih berstruktur, strategik dan berasaskan realiti industri,” katanya lagi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut berkata, pelancaran program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian membuktikan UPTM mengambil langkah strategik selari dengan agenda pendigitalan negara.

Beliau turut menggesa universiti berkenaan supaya terus memperluas jaringan antarabangsa serta menjalin kolaborasi erat bersama pemain industri, selain meningkatkan pengambilan pelajar yang kini mencecah kira-kira 8,000 orang.

“Hasrat saya adalah untuk melihat UPTM muncul sebagai mercu tanda universiti MARA, sebuah institusi yang memperkasakan komuniti, memperluas peluang dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat global sebagai negara yang melahirkan profesional berjiwa dan berjati diri,” katanya lagi.

Menurut beliau, keutamaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah memastikan pembangunan modal insan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh menerusi MARA, dengan peranan UPTM amat signifikan dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan dan mobiliti sosial.

“Saya juga mahu UPTM memperluas kerjasama bukan sahaja dengan MARA, tetapi turut melibatkan agensi di bawah KKDW seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya manfaat pembangunan modal insan dapat dirasai secara lebih inklusif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button