SUKAN

UPTM anjur kejohanan eSukan kebangsaan, tawar hadiah RM200,000

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mencipta kelainan apabila memberi peluang kepada mahasiswa mengendalikan sendiri penganjuran kejohanan eSukan peringkat kebangsaan menerusi acara pembukaan ACS Edu Tour Musim kelima yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan RM200,000.

mobile lagend
Mobile Legend UPTM

Program anjuran bersama CRIT e-Sport Malaysia itu membuka ruang kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bukan sahaja untuk bertanding, malah meneroka potensi diri dalam pelbagai cabang industri eSukan.

UPTM berkata, pendekatan itu memberi pengalaman langsung kepada pelajar dalam mengurus kejohanan bertaraf nasional di samping memperkukuh kemahiran rentas disiplin.

“Penganjuran melibatkan pelajar daripada Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia serta Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“ACS Edu Tour musim kelima yang memfokuskan segmen pemain amatur mempertandingkan permainan Mobile Legends: Bang Bang itu dijangka menarik penyertaan besar apabila membabitkan 111 universiti, kolej dan politeknik dengan lebih 6,200 peserta serta 1,552 pasukan.

“Daripada jumlah itu, 32 pasukan adalah wakil pelajar UPTM yang turut bersaing merebut hadiah keseluruhan RM200,000 yang menjadi antara tarikan utama kejohanan tersebut.

“Program yang berlangsung selama tujuh bulan itu turut menampilkan pendekatan “Knowledge Transfer” apabila penganjuran kejohanan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dengan bimbingan pensyarah serta pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar CRIT e-Sport Malaysia, Qistina Iman berkata, penawaran hadiah yang besar itu menjadi salah satu faktor pendorong utama penyertaan meluas dalam kalangan pelajar IPT.

qistina iman
Pengurus Besar CRIT e-Sport Malaysia, Qistina Iman (kanan) dan Penasihat Kelab e-Sport UPTM, Hafizz Zanial

“Apabila kita menawarkan hadiah keseluruhan yang besar, ia bukan sahaja menarik minat peserta untuk bertanding, tetapi turut membuka ruang kepada mereka melihat potensi industri eSukan secara lebih serius dari segi kerjaya dan pembangunan bakat,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran hari ini.

Sementara itu, Penasihat Kelab e-Sport UPTM, Hafizz Zanial berkata, program ini turut memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam aspek pengurusan acara berskala besar.

“Pelajar bukan sekadar bertanding, tetapi turut terlibat dalam keseluruhan ekosistem penganjuran. Ini memberi pengalaman sebenar yang amat berharga sebelum mereka melangkah ke industri,” katanya lagi.

Presiden Kelab e-Sport UPTM, Muhammad Haikal Haziq Jasni pula menyifatkan peluang mengendalikan kejohanan bertaraf kebangsaan sebagai pengalaman yang sukar diperoleh di luar bilik kuliah.

“Pengalaman ini sangat bermakna kerana kami dapat belajar mengurus acara sebenar, berurusan dengan industri serta memahami cabaran penganjuran skala besar,” katanya lagi.

Program itu juga merupakan kesinambungan kolaborasi antara Kelab eSukan UPTM dan CRIT sejak 2023 dengan sokongan rakan strategik seperti Tune Talk, VICO, Maggi Hot Cup serta program “Kuasa Orang Muda” oleh Impact Integrated.

Dalam pada itu, aspek inklusiviti turut diberi perhatian apabila penyertaan dibuka kepada wanita serta pemain orang kurang upaya (OKU) selaras usaha memperluas akses dan penyertaan dalam industri eSukan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button