Polis tahan pemandu Myvi dirakam langgar kanak-kanak berbasikal
KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan pemandu Perodua Myvi yang dirakam melanggar seorang kanak-kanak berbasikal sebelum melarikan diri dalam kejadian di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan, di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, suspek berusia 45 tahun itu berjaya ditahan hasil maklumat dan siasatan dijalankan susulan video kejadian yang tular di media sosial.
Katanya, JSPT Kuala Lumpur mengesan pemandu terbabit yang kemudian hadir bersama pemilik kenderaan ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.26 pagi membabitkan sebuah Perodua Myvi berwarna oren dipandu suspek dengan sebuah basikal yang ditunggang seorang kanak-kanak lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan berkenaan membelok keluar simpang ke kanan sebelum melanggar bahagian belakang basikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan milik adiknya.
“Suspek didapati pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental dan mempunyai lesen memandu yang masih aktif.
“Kecederaan penunggang basikal masih belum dapat dipastikan. Kita minta ahli keluarga mangsa penunggang basikal hadir membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian termasuk pemilik rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) turut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hazman di talian 019-2089005 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








