BERITA SEMASA

Penunggang motosikal maut dirempuh, digilis lori di Taman Berkeley

KLANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah lori di persimpangan Persiaran Rajawali menuju Jalan Angsa, Taman Berkeley, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.00 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Siti Norbahyah Bidin, siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun, membelok ke kiri dari arah Persiaran Rajawali menuju Jalan Angsa sebelum melanggar motosikal mangsa yang berada di hadapannya.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit dipercayai terjatuh dan digilis oleh lori tersebut.

“Kedua-dua kenderaan dipercayai datang dari arah yang sama ketika kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Superintenden Siti Norbahyah, hasil air kencing terhadap pemandu lori mendapati tiada tanda penggunaan dadah.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod saman lalu membabitkan Peraturan 10 LN 166/59 dan Seksyen 79(2) APJ 1987.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Kumarendran a/l Varatharajoo di talian 017-5253136 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button