POLITIK

Isu kaum hanya modal politik, kerjasama semua kaum kunci kemajuan negara – Calon PH Rengit

BATU PAHAT – Politik perkauman disifatkan bukan lagi isu yang membelenggu masyarakat di peringkat akar umbi, sebaliknya ia hanya dimainkan pihak tertentu yang kehabisan modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri berkata, berdasarkan pengalaman membesar di kampung, hubungan antara masyarakat berbilang kaum sentiasa berlangsung dalam suasana harmoni serta saling bergantung antara satu sama lain.

“Kalau ikut keadaan di kampung, sebenarnya tidak ada isu perkauman di peringkat akar umbi. Saya rasa ia hanya dimainkan oleh pihak yang sudah tiada modal politik.

“Orang Cina sebenarnya banyak membantu menjana ekonomi orang Melayu. Orang Melayu ada kebun kopi, getah, kelapa dan padi, manakala orang Cina membeli hasil kampung itu.

“Daripada hasil jualan itulah orang Melayu dapat menyara keluarga, menyekolahkan anak-anak dan suatu ketika dahulu mengumpul wang untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Baca juga : Mohamad Yazid sambut baik sokongan Puad Zarkashi, beri kesan positif kempen PH di DUN Rengit

Mohamad Yazid berkata, masyarakat kini juga semakin matang dan rasional dalam menilai sesuatu isu serta memahami bahawa kemajuan negara hanya mampu dicapai menerusi kerjasama semua kaum.

Beliau berkata, Malaysia sememangnya sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru perpaduan perlu terus diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama.

“Kita tidak boleh memajukan negara jika masih berfikir mengikut sentimen kaum. Semua pihak perlu bersama-sama membangunkan negara.

“Malaysia memang ditakdirkan mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama. Kita perlu menerima hakikat itu serta mengikut ajaran Islam supaya saling mengenali, berkasih sayang dan hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button