Kerajaan lulus RM50 juta luaskan lorong khas bas
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan perluasan lorong khas termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang bermula September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) berkata, sejak dilaksanakan pada 3 Julai tahun lalu, kajian mendapati bahawa pelaksanaan lorong khas bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang menunjukkan respon yang amat menggalakkan.
“Data menunjukkan, berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (point-to-point) dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20 peratus sehingga 45 peratus.
“Dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun ini serta melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam).
Selain itu katanya, mesyuarat juga memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuaraian baharu secara berperingkat untuk lokasi-lokasi kritikal kesesakan setelah mendapatkan makluman daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
KAtanya, kerajaan juga telah melaksanakan laluan kontra bagi membantu kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 88 peratus pengguna lebuhraya yang ditemui bersetuju bahawa laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalulintas.
“Mesyuarat bersetuju untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan langkah pengoperasian bagi mengelak isu-isu seperti insiden kemalangan hasil pemasangan kon dan penambahan pencahayaan ketika waktu hujan dan gelap.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) meneliti cadangan supaya projek-projek pembangunan mengguna pakai konsep berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai langkah jangka masa panjang mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen ECRL, MRT, LRT dan KTMB.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















