CBP anjur pertandingan golf sempena Hari Koperasi Negara
KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) terus komited memperkukuh pembangunan sektor koperasi negara dengan menganjurkan Pertandingan Networking Golf bersempena sambutan Hari Koperasi Negara 2025 (HKN25).
Majlis penutupan pertandingan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Orna Golf & Country Club, sekali gus memperlihatkan sokongan kementerian terhadap usaha memperluas jaringan strategik koperasi.
Program anjuran CBP dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu menghimpunkan seramai 80 pemain terdiri daripada pelbagai agensi dan rakan strategik di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Antara yang turut serta ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof serta Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Noor Azman Taib.
Ketua Pegawai Operasi CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, pertandingan tersebut memberi ruang kepada peserta menjalinkan hubungan erat dalam suasana santai, sekali gus mengukuhkan kerjasama industri.
“Pertandingan golf akan terus menjadi platform utama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara CBP dan sektor koperasi.
“Ia bukan sahaja menyemarakkan jaringan antara pemain industri, bahkan memperkukuh kedudukan koperasi sebagai pemacu utama ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SKM atas kepercayaan menganjurkan edisi kedua pertandingan tersebut, selain mengucapkan terima kasih kepada Menteri KUSKOP, barisan ketua setiausaha, wakil agensi serta ahli Lembaga CBP yang memeriahkan acara berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








