JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen tahan 109 warga asing bina disko eksklusif

KUALA LUMPUR – Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan bekerja tanpa kebenaran untuk membina sebuah kelab malam eksklusif di Jalan Ampang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pada pukul 11.45 pagi itu dilakukan di sebuah bangunan komersial di kawasan tersebut susulan aduan awam berkaitan warga asing yang semakin ramai.

Datuk Zakaria Shaaban

Menurut beliau, selepas melakukan risikan selama tiga minggu, 58 pegawai menyerbu dua aras bangunan komersial itu dan memeriksa 120 individu membabitkan tujuh warga tempatan serta 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar dan India.

“Ketika serbuan, warganegara asing terbabit sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis di dalam bangunan komersial berkenaan.

“Premis itu dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai kelab hiburan eksklusif yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk yang dikawal rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zakaria, tindakan itu dipercayai sebagai langkah bagi menghadkan kemasukan orang awam dan mengelakkan kegiatan di dalamnya dikesan pihak berkuasa

“Siasatan awal mendapati, sebahagian besar warga asing terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan PLS, namun disyaki bekerja tanpa kebenaran dan melanggar syarat pas berkenaan,” katanya.

Turut dikenal pasti ialah individu yang disyaki tinggal melebihi tempoh sah pas serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan.

“Seramai 109 warganegara asing terdiri daripada 78 lelaki warganegara China serta 31 lelaki warganegara Bangladesh, Myanmar dan India berumur 30 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menjadi pengurus atau individu yang bertanggungjawab menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah gunakan pas.

“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button