JENAYAH & MAHKAMAH

Dua pegawai imigresen direman, disyaki terima rasuah RM39,000 lulus permit kerja warga asing

ALOR SETAR – Dua pegawai penguat kuasa imigresen direman enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM39,000 sebagai balasan membantu mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing bagi sebuah syarikat di negeri ini.

Perintah reman sehingga 9 Mac ini dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan bersama seorang lagi lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kira-kira pukul 12 tengah malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Bagaimanapun, individu yang dipercayai menjadi orang tengah tersebut dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua pegawai berkenaan dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Februari 2026 dengan meminta wang rasuah daripada ejen syarikat melalui orang tengah.

“Mereka disyaki menerima bayaran permulaan kira-kira RM4,000 melalui pindahan ke akaun bank masing-masing, manakala baki sebanyak RM35,000 masih dalam proses berkaitan permohonan permit warga asing,” menurut sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button