Cadangan larang pegawai bawa telefon bimbit ketika bertugas wajar dikuatkuasa – SPRM
KUALA LUMPUR – Cadangan melarang pegawai penguat kuasa membawa telefon bimbit ketika bertugas wajar dikuatkuasakan segera bagi membanteras kegiatan sindiket ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini kekal relevan dan menjadi langkah penting dalam memastikan integriti pasukan penguat kuasa di pintu masuk negara tidak tergugat.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bagi membincangkan pelaksanaan cadangan berkenaan.
“Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terlibat dalam sindiket ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’ perlu dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat.
“Hanya pendekatan tegas seperti ini dapat memelihara maruah dan integriti perkhidmatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Azam, sebarang penglibatan pegawai dalam sindiket berkenaan mencerminkan kegagalan asas integriti dan tidak wajar dibiarkan berkhidmat dalam jabatan beruniform.
“Difahamkan sindiket menerima bayaran antara RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada negara yang terlibat dalam aktiviti ‘pasport terbang’. Ini jelas menunjukkan pengkhianatan terhadap amanah dan tanggungjawab,” tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan AKPS dalam menangani isu tersebut.
Menurutnya, JIM sebelum ini pernah menjalankan operasi dalaman dan menahan lebih 50 pegawai yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’.
“Mulai Januari lalu, kawalan di pintu masuk negara telah diserahkan kepada AKPS. Namun, JIM bersedia untuk berkongsi maklumat dan membantu siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat pegawai penguat kuasa direman enam hari selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 berhubung kegiatan ‘pasport terbang’ di kaunter penyeliaan zon motosikal di sempadan Johor–Singapura.
Perintah reman sehingga 1 Ogos itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas, ke atas kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an.
Dua daripada mereka ditahan Unit Pematuhan AKPS semasa pemeriksaan dijalankan, manakala dua lagi ditahan susulan siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








