
51 PATI termasuk berusia 2 tahun diberkas
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket Penyeludupan manusia dan menahan seramai 56 orang individu terdiri dari Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta ahli sindiket dalam dalam satu Operasi Khas yang dikenali sebagai “OPS Gelombang V” di Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Kota Bharu itu seramai 51 orang PATI telah ditahan.
“Mereka terdiri daripada 39 lelaki dan empat perempuan warganegara India, dua lelaki warganegara Pakistan, dua perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki warganegara Thailand. Kesemua mereka yang ditahan ini berumur diantara 2 tahun hingga 60 tahun.
“Selain itu, turut ditahan ahli sindiket tersebut iaitu lima orang lelaki warganegara Malaysia yang terdiri daripada pemilik hotel bajet ini, dua orang penjaga premis dan dua orang transporter yang kesemua mereka berumur diantara 23 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, kesemua PATI itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah manakala lima lelaki
tempatan tersebut direman selama enam hari.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup PATI terutamanya warganegara India yang memasuki negara ini melalui negara jiran dengan mengunakan laluan haram di sempadan.
“PATI ini akan diangkut mengunakan kenderaan oleh transporter tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit ini sebelum dihantar ke lokasi-lokasi tertentu. Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini
mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang PATI.
“Pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM5,300, 42 naskah pasport India dan empat buah kenderaan terdiri daripada kereta sedan dan MPV yang digunakan untuk mengangkut PATI ke lokasi transit berkenaan.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menyasarkan PATI berasal dari India yang ingin memasuki negara ini untuk merebut peluang pekerjaan secara haram,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








