BERITA SEMASA

Adik Akif impi jadi tentera ditunaikan ATM dan Make-A-Wish Malaysia

KUALA LUMPUR – Impian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap kanser darah untuk menjadi tentera akhirnya direalisasikan hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Make-A-Wish Malaysia.

Kanak-kanak tersebut, Akif Ziyan Azhar, disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), menyimpan hasrat untuk merasai sendiri pengalaman bertugas sebagai anggota tentera.

Dalam satu program khas yang berlangsung di Pangkalan Udara Jugra, Banting, ATM tampil memberikan pengalaman istimewa buat Akif, lengkap dengan pengiring berpakaian tempur dan sambutan ala ketenteraan.

Program yang bermula pagi tadi turut melibatkan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar yang turun padang sendiri menjemput Akif di rumahnya di Jeram, Selangor.

Akif dibawa ke PU Jugra menaiki kenderaan khas Fitted for Radio (FFR) Cendana Auto milik ATM, sambil memakai pakaian celoreng digital Tentera Darat Malaysia.

Setibanya di pangkalan, beliau diberi peluang merasai pengalaman Pemeriksaan Kawalan Suku oleh PAT serta menyertai istiadat di pentas kawalan.

Di padang kawad, Akif menyaksikan tayangan video mengenai Pasukan Khas Udara (PASKAU) dan demonstrasi menyelamat tebusan oleh anggota elit pasukan tersebut.

Lebih istimewa, PAT menganugerahkan pakaian seragam PASKAU kepada Akif dalam satu upacara perbarisan penuh simbolik.

Sesi bergambar bersama warga ATM turut diadakan sebagai kenangan buat Akif dan keluarganya.

ATM dalam kenyataannya berkata, program tersebut adalah sebahagian usaha memperkasa nilai kemanusiaan serta memberikan sokongan moral kepada kanak-kanak yang diuji dengan penyakit kritikal.

“Ini juga satu bentuk penghargaan kepada semangat dan ketabahan yang ditunjukkan oleh Adik Akif,” katanya lagi.

Make-A-Wish Malaysia pula menyatakan penghargaan atas kerjasama erat bersama ATM dalam menjayakan program tersebut.

“Impian yang ditunaikan itu mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi impaknya amat besar dalam memberikan harapan dan semangat buat kanak-kanak seperti Akif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button