Bekas Ketua Perisikan ATM mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd. Razali Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah AS$20,000 (kira-kira RM78,000) serta RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya, dua tahun lalu.
Mohd. Razali, 60, yang juga bekas pegawai tertinggi Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn. Bhd., Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman, 45, di MDIO Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini, antara Ogos hingga November 2024.
Wang tersebut didakwa diterima sebagai dorongan kepada tertuduh selaku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM bagi meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Bagi kesalahan itu, Mohd. Razali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua iaitu menerima untuk isterinya, Azarina Bakia, 59, bayaran berjumlah RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol tanpa balasan daripada individu sama, sedangkan tertuduh mengetahui perkara tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama pada 15 November 2024 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd. Razali didakwa menerima untuk isterinya bayaran berjumlah RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Estonia tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq, yang juga diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 28 April 2025 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.
Terdahulu, Mohd. Razali tiba di mahkamah pada pukul 8.35 pagi dengan mengenakan sut lengkap berwarna coklat dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.
Pada 22 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk akan didakwa atas pertuduhan rasuah pada minggu ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








