BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Pelantikan Malek Razak sebagai PAT baharu bawa mandat perkukuh akauntabiliti, integriti ATM

KUALA LUMPUR – Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 membawa mandat penting dalam memperkukuh tatakelola, akauntabiliti serta disiplin kepimpinan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut kenyataan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, pelantikan itu merupakan langkah strategik memacu pembaharuan institusi pertahanan negara, khususnya ATM, ke arah penetapan semula institusi secara menyeluruh.

“Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.

“Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.

“Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati,” menurut kenyataan itu hari ini.

Baca juga : Malek Razak dilantik Panglima Angkatan Tentera

Terdahulu, Majlis Pelantikan Jeneral Malek Razak Sulaiman sebagai PAT ke-24 disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai rekod, Malek Razak memiliki latar belakang akademik dalam bidang strategik dan pertahanan, termasuk Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London, United Kingdom, serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.

Kerjaya ketenteraannya bermula pada 1985 apabila beliau menyertai Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebagai Pegawai Kadet Luar Negara, sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.

Sepanjang hampir empat dekad berkhidmat, beliau menunjukkan tahap kecekapan, keupayaan dan kewibawaan kepimpinan yang konsisten dalam pelbagai peranan.

Beliau memulakan perkhidmatan operasinya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, seterusnya berkhidmat dalam pelbagai formasi serta menggalas sejumlah jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

Jawatan terakhir yang disandang ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Bersandarkan pengalaman luas dan kredibiliti tinggi yang dimiliki, pelantikan tersebut diyakini mampu memperkukuh kepimpinan serta meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan negara.

Selain itu, kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme yang dibawa dijangka dapat memulihkan serta memperkukuh imej dan wibawa ATM, sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button