Rumah Bangsa: KJ, Hishammuddin antara 6,252 pemimpin dan ahli UMNO yang diterima kembali
KUALA LUMPUR – Seramai 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan di seluruh Malaysia diterima kembali menyertai parti itu tanpa sebarang syarat.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Melaka hari ini.
“Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya di kalangan anak-anak muda.
“Menyedari cabaran kos sara hidup yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global disebabkan kesan peperangan di Iran, MKT menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan,” katanya.
Sementara itu katanya, sempena minggu Sambutan 80 Tahun UMNO yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre, Kuala Lumpur beberapa program utama akan dilangsungkan termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan termasuklah Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu.
Pada masa sama katanya, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO, MKT telah memberikan kebenaran kepada sayap-sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid atau gabungan antara kehadiran secara fizikal dan secara atas talian khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








