Siri letupan gegar selatan Thailand, dua wanita cedera
NARATHIWAT – Tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani digemparkan dengan siri letupan dan serangan kebakaran yang berlaku hampir serentak pada malam Sabtu, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua wanita cedera serta kerosakan terhadap harta benda dan infrastruktur awam.
Menurut laporan media tempatan Thailand dan Bangkok Post, kejadian bermula sekitar jam 8.15 malam waktu tempatan dan melibatkan sekurang-kurangnya 12 lokasi di tiga wilayah berkenaan, dengan Narathiwat merekodkan jumlah serangan tertinggi.
Insiden itu membabitkan pelbagai bentuk gangguan keselamatan termasuk letupan bom, pembakaran tayar, pembakaran kenderaan, serangan terhadap kemudahan awam, premis perniagaan serta menara telekomunikasi.
Di Narathiwat, sekurang-kurangnya 11 lokasi menjadi sasaran serangan. Antara kejadian yang dilaporkan ialah letupan di jalan menghubungkan Kampung Pare dan Kampung Kuching Luepa di daerah Rangae, selain serangan pembakaran di Pejabat Pentadbiran Tambon (TAO) Bongo yang turut menyebabkan sebuah trak pikap dilaporkan hilang.
Beberapa insiden lain turut melibatkan pembakaran tayar dan kenderaan termasuk sebuah jentolak berhampiran jambatan di Kampung Arnae. Di daerah Cho Airong pula, tayar dibakar di Tambon Bukit dan Tambon Maruebo-ok, manakala satu letupan dilaporkan berlaku berhampiran menara telekomunikasi DTAC di Tambon Chuap.
Sementara itu, pembakaran tayar turut berlaku di Lebuh Raya 42 berhampiran Kampung Thung Kha di daerah Yi-ngo.
Dalam kejadian berasingan di daerah Sungai Padi, dua wanita cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terkena serpihan letupan berhampiran persimpangan Masjid Dalaepalas sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Serangan turut merebak ke wilayah Yala apabila kumpulan suspek dipercayai membakar sebuah menara telekomunikasi dan dua kenderaan milik TAO di Kampung Ban Rae, daerah Than To.
Ketua Daerah Sungai Golok, Sopiyan Daemoleng berkata, siasatan awal mendapati bahan letupan diletakkan di sebuah pondok rehat tepi jalan berhampiran Pejabat Pengangkutan Wilayah Narathiwat cawangan Sungai Golok.
Susulan kejadian itu, pihak keselamatan Thailand meningkatkan kawalan di kawasan terjejas serta menutup beberapa lokasi bagi membolehkan pemeriksaan dan siasatan dijalankan. Laluan keluar masuk ke bandar Sungai Golok dan kawasan sempadan Tak Bai turut ditutup sementara sebagai langkah keselamatan.
Pihak berkuasa juga mengarahkan penutupan sementara beberapa kawasan tertentu selain melaksanakan larangan keluar masuk di lokasi yang ditetapkan.
Pasukan Petugas Khas Narathiwat menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 10.15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad bagi mengawal keadaan dan memudahkan operasi keselamatan.
Pemerintahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan sasaran serta tidak menyebarkan maklumat, gambar atau rakaman langsung berkaitan pergerakan anggota keselamatan yang boleh menjejaskan operasi memburu pihak bertanggungjawab.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian, jumlah kerosakan sebenar serta individu atau kumpulan yang terlibat dalam siri serangan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








