Speaker DUN tarik balik pemakluman kepada SPR adakan PRK di Perlis
ARAU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan hari ini menarik balik pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengenai keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi Bintong, Guar Sanji dan Chuping.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, walaupun tiada berlakunya PRK, kerusi berkenaan akan kekal dibiarkan kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk pendirian PAS selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Rus’sele menjelaskan, penarikan balik pemakluman mengenai keperluan PRK itu dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis melalui surat bertarikh semalam.
“Namun kekosongan luar jangka bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuat kuasa sebagaimana surat saya bertarikh 29 Disember lalu,” katanya lagi.
Terdahulu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar dipetik sebagai berkata, tiada keperluan mengadakan PRK berkenaan memandangkan ia berlaku selepas tamat tempoh matang tiga tahun penggal DUN.
Katanya, berbaki dua tahun untuk DUN Perlis terbubar secara automatik, sebarang kekosongan luar jangka tidak perlu diisi melainkan speaker berpendapat kekosongan itu menjejaskan kedudukan majoriti kerajaan negeri dalam DUN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








