PAS bincang kemelut kepimpinan Perlis esok
ARAU – Parti PAS akan bermesyuarat di ibu negara esok bagi membincangkan kemelut kepemimpinan di Perlis.
Perkara itu disahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Perlis, hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak wujud sebarang gerakan terancang dalam PN berhubung gerakan bagi menjatuhkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang didakwa hilang majoriti sokongan dan kepercayaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Dalam hal ini, saya tidak nampak wujud satu pakatan tertentu dibuat dan memang saya rasakan tidak ada gerakan ini dilakukan.
“Namun berkemungkinan, mereka ini dipanggil (melakukan akuan berkanun) secara individu dan apa yang menjadi ‘concern’ setakat ini, adalah apa jua keputusan parti selepas ini.
“Namun, itu kita serahkan kepada PAS Pusat untuk membuat sebarang keputusan dalam hal ini yang mana nama daripada kedua-dua parti akan diangkat kepada Tuanku Raja Perlis dalam penentuan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan Fawwaz di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau, Kubang Gajah, di sini hari ini.
Laporan media semalam menyebut, beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU didakwa sudah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail Jumaat lalu yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.
Shahidan berkata dirinya sendiri mengikuti rapat perkembangan yang berlaku ini tatkala berada di Bangkok, Thailand bagi menghadiri temasya Sukan Sea.
“Saya baru balik (dari Bangkok) dan saya pun mendapat maklumat dan berita ini melalui media sosial media terhadap apa yang berlaku di Perlis.
“Sudah pasti kita tak dapat menampilkan hakikat bahawa tentulah ada sesuatu berlaku tetapi hendak perkara ini diperhalusi dan serahkan kepada PAS Pusat, BERSATU Pusat dan juga Perikatan Nasional Pusat untuk membuat sebarang keputusan.
“Saya membayangkan kemelut ini dapat diselesaikan menerusi perbincangan seperti ‘adik beradik’ dalam minggu hadapan dan janganlah ia ada unsur pergaduhan atau pertelingkahan dalam gabungan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







