SUKAN

Mbappe bawa Perancis ke separuh akhir Piala Dunia 2026, singkir Maghribi 2-0

BOSTON – Kapten Perancis, Kylian Mbappe sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila membantu skuad Les Bleus menewaskan Maghribi 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Walaupun gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama selepas percubaannya diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou, Mbappe bangkit pada separuh masa kedua dengan meledakkan gol pembukaan menerusi rembatan lencong yang memukau.

Bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele, kemudian menggandakan kelebihan Perancis menerusi serangan balas pantas sekali gus mengesahkan kemenangan dan tempat ke kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun, Mbappe mencetuskan kebimbangan apabila dikeluarkan pada minit ke-77 selepas memberi isyarat kepada bangku simpanan dan kelihatan mengalami ketidakselesaan pada kaki kanannya.

Rakaman televisyen menunjukkan beliau meletakkan pek ais pada kaki tersebut selepas perlawanan, namun penyerang berusia 27 tahun itu tetap menyertai sambutan kemenangan bersama rakan sepasukan.

Kemenangan itu menyaksikan Perancis mara ke separuh akhir Piala Dunia buat edisi ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama menjulang trofi.

Perancis kini menanti pemenang pertemuan antara Sepanyol dan Belgium bagi menentukan lawan di separuh akhir.

Mbappe turut menyamai rekod lapan gol Lionel Messi dalam kempen Piala Dunia 2026, sekali gus menghidupkan persaingan merebut Kasut Emas.

Beliau kini hanya memerlukan lima lagi jaringan untuk menyamai rekod 13 gol dalam satu edisi Piala Dunia yang dipegang legenda Perancis, Just Fontaine sejak tahun 1958.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button