SUKAN

Piala Dunia 2026: Saka ledak hatrik, England benam Perancis 6-4 raih tempat ketiga

MIAMI – Bukayo Saka muncul wira England apabila meledak hatrik untuk membantu The Three Lions menewaskan Perancis 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 yang penuh dramatik di Stadium Miami, awal pagi tadi sekali gus menamatkan kempen dengan bergaya.

Walaupun kedua-dua pasukan mengimpikan pentas final, England dan Perancis masing-masing dikecewakan pada separuh akhir selepas tewas kepada Argentina dan Sepanyol.

Pengendali England, Thomas Tuchel melakukan rombakan besar apabila merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Harry Kane dan Jude Bellingham dalam kesebelasan utama.

Sementara itu, manakala Didier Deschamps yang mengendalikan perlawanan terakhirnya bersama Perancis turut menyisihkan Bradley Barcola dan Ousmane Dembele daripada skuad permulaan.

England bermula garang apabila Declan Rice meledak gol seawal minit ketiga menerusi rembatan jarak jauh sebelum Ezri Konsa menggandakan kelebihan menerusi tandukan.

Saka kemudian menjadikan kedudukan 3-0 hasil serangan balas pantas sebelum menambah gol kedua peribadinya pada masa kecederaan babak pertama untuk meletakkan England selesa mendahului 4-0.

Perancis bangkit selepas rehat apabila Deschamps memasukkan Dembele, Dayot Upamecano, Lucas Digne dan Barcola.

Pertukaran itu segera membuahkan hasil apabila Kylian Mbappe menjaringkan gol pertama Perancis.

Barcola kemudian merapatkan jurang sebelum Mbappe sekali lagi menemui sasaran hasil hantaran Michael Olise, sekali gus mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 22 gol.

Bagaimanapun, kebangkitan Les Bleus tidak mencukupi apabila England dihadiahkan sepakan penalti selepas Djed Spence dijatuhkan Malo Gusto di dalam kotak penalti.

Saka tenang menyempurnakan sepakan itu untuk melengkapkan hatriknya, sebelum Dembele menjaringkan gol keempat Perancis.

Bellingham menutup pesta jaringan dengan gol keenam England menerusi gerakan solo menarik pada penghujung perlawanan, sekali gus menjadi pemain England pertama menjaringkan tujuh gol dalam satu edisi Piala Dunia.

Kemenangan itu membolehkan England menamatkan saingan di tempat ketiga, pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia sejak muncul juara pada edisi 1966.

Selepas perlawanan, Tuchel memuji semangat juang anak buahnya walaupun masih kecewa gagal mara ke final.

“Kami boleh berbangga dengan pencapaian ini. Namun kami juga sedar masih banyak ruang untuk diperbaiki, terutama dalam mengendalikan tekanan pada saat-saat penting,” katanya.

Sementara itu, Deschamps mengakui aksi anak buahnya pada babak pertama terlalu buruk sehingga menyukarkan usaha untuk bangkit.

“Permainan kami pada separuh masa pertama adalah bencana. Saya hanya meminta pemain menunjukkan maruah dan semangat pada babak kedua,” katanya kepada saluran televisyen M6.

Selepas menamatkan kempen di tempat ketiga, England kini mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Euro 2028, manakala tumpuan dunia beralih ke final Piala Dunia 2026 yang menemukan juara bertahan Argentina menentang juara Eropah, Sepanyol di East Rutherford, New Jersey.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button