LUAR NEGARA

Fenomena awan api gergasi cetus kebakaran baharu di Perancis

PARIS – Kebakaran hutan yang sedang melanda Perancis kini bertambah buruk apabila mencetuskan fenomena luar biasa dikenali sebagai pyrocumulonimbus, iaitu awan api gergasi yang mampu menghasilkan angin dan kilat sehingga mencetuskan kebakaran baharu.

Menurut Persekutuan Bomba Kebangsaan Perancis (FNSPF), fenomena itu terbentuk akibat haba melampau daripada kebakaran berskala besar, sekali gus menjadikan operasi memadam api jauh lebih sukar kerana kebakaran boleh merebak secara tidak menentu.

Kebakaran terbesar di wilayah Gironde, berhampiran Bordeaux, disifatkan Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez sebagai ‘amat ganas dan sukar diramal’ apabila api terus mara ke arah kawasan metropolitan Bordeaux.

“Fenomena itu, yang turut dikenali sebagai awan cumulonimbus flammagenitus, lazimnya terbentuk ketika letusan gunung berapi atau kebakaran hutan berskala besar yang menghasilkan haba melampau di permukaan bumi.

“Haba tersebut menyebabkan udara panas naik dengan pantas sebelum menyejuk lalu membentuk awan api gergasi. Awan berkenaan mampu menghasilkan sistem anginnya sendiri yang boleh mempercepatkan penyebaran kebakaran, malah jika terus membesar, ia berupaya mencetuskan kilat yang boleh menyalakan kebakaran baharu,” lapor agensi berita France24.

Sebelum ini, fenomena berbahaya itu kebanyakannya direkodkan di kawasan yang sering dilanda kebakaran hutan seperti Australia dan Amerika Utara.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pula menggelarkannya sebagai ‘naga bernafas api dalam kalangan awan’ kerana keupayaannya memperhebatkan kebakaran hutan.

Susulan keadaan yang semakin kritikal, lebih 250,000 penduduk di Perancis dipindahkan, manakala Presiden Emmanuel Macron dijadual mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet bagi menyelaras tindakan kecemasan.

Situasi dijangka bertambah mencabar apabila pihak meteorologi meramalkan satu lagi gelombang haba akan melanda barat daya Perancis mulai Selasa dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius.

Di negara jiran, Sepanyol turut bergelut dengan kebakaran hutan yang memaksa kira-kira 75,000 penduduk dipindahkan dari Madrid, Avila, Toledo dan Valencia.

Perdana Menteri Pedro Sanchez telah melawat kawasan terjejas, manakala Raja Felipe VI menyifatkan kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan yang tidak ternilai terhadap khazanah semula jadi negara.

Setakat ini, sekurang-kurangnya seorang penduduk dilaporkan maut dalam kebakaran berhampiran Valencia, manakala dua anggota bomba terkorban ketika operasi memadam kebakaran di kawasan Bordeaux.

Sementara itu, di Itali, lebih 400 pelancong dipindahkan melalui laut dari kawasan peranginan berhampiran Peschici selepas kebakaran hutan menghampiri lokasi tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button