LUAR NEGARA

AS, Iran hentikan sementara serangan, ruang diplomasi kembali terbuka

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilapor menghentikan sementara serangan ketenteraan buat hari kedua berturut-turut, sekali gus memberi harapan baharu terhadap kemungkinan penyelesaian konflik melalui saluran diplomatik selepas hampir dua minggu saling melancarkan serangan.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz berkata, Presiden Donald Trump memberi ruang kepada usaha rundingan walaupun sebelum ini menegaskan tentera AS berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk bertindak jika keadaan memerlukan.

Menurut beliau, pelbagai rundingan telah berlangsung sejak beberapa minggu lalu, khususnya dalam beberapa hari kebelakangan ini, bagi mencari jalan meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran.

Laporan CBS News yang memetik sumber serantau menyebut keputusan AS menghentikan sementara operasi ketenteraan dibuat susulan ketibaan delegasi Oman di Tehran untuk menghidupkan semula usaha perantaraan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, peluang mencapai perdamaian masih dibayangi rasa tidak percaya yang mendalam.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, Qatar dan Pakistan kini bertindak sebagai orang tengah dengan menyampaikan mesej antara Tehran dan Washington, namun menegaskan pengalaman rundingan terdahulu yang berakhir dengan serangan ketenteraan menyebabkan Iran sukar mempercayai komitmen AS terhadap diplomasi.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The New York Times melaporkan Trump turut menangguhkan rancangan memperhebatkan serangan kerana bimbang stok peluru berpandu pemintas serta sistem pertahanan udara Pentagon di Timur Tengah semakin berkurangan.

Sementara itu, tentera Iran mengesahkan operasi serangan balas terhadap sasaran di Teluk turut dihentikan buat sementara waktu.

Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia berkata, strategi Tehran sebelum ini hanyalah sebagai tindak balas terhadap serangan AS, namun memberi amaran konflik boleh kembali memuncak sekiranya Washington menyambung operasi ketenteraan.

Di sebalik usaha meredakan ketegangan, Trump terus mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi apabila berkongsi beberapa imej janaan kecerdasan buatan (AI) di media sosial yang memaparkan pesawat pejuang AS mengebom Iran serta sebuah kapal tangki minyak Iran yang dikibarkan bendera AS.

Pada masa sama, Trump turut berdepan tekanan politik di dalam negara supaya segera mencari jalan menamatkan konflik.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu oleh Iran atau sekutunya terhadap Israel akan dibalas dengan tindakan yang jauh lebih keras ketika beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Trump di Washington minggu ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button