BERITA SEMASA

Iran umum tutup Selat Hormuz, ancam sasar semua kapal yang melintas

TEHRAN – Markas tentera Iran, Khatam al-Anbiya, mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal susulan ketegangan dan konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.

Menurut kenyataan yang disiarkan televisyen negara Iran awal hari ini, laluan perairan strategik itu ditutup kepada semua bentuk trafik maritim termasuk kapal tangki minyak dan kapal perdagangan atas faktor keselamatan.

Markas berkenaan turut memberi amaran bahawa sebarang pergerakan melalui selat tersebut akan dianggap sebagai sasaran.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat susulan apa yang didakwa sebagai ‘pencerobohan berterusan Amerika Syarikat (AS)’ termasuk serangan terbaru Washington ke atas beberapa kawasan di wilayah Hormozgan di selatan Iran.

Khatam al-Anbiya turut menolak dakwaan AS bahawa laluan perkapalan di Selat Hormuz masih beroperasi seperti biasa.

Pada masa sama, media Iran melaporkan beberapa letupan, aktiviti sistem pertahanan udara dan serangan udara berlaku di beberapa lokasi di selatan negara itu termasuk Bandar Abbas, Minab, Jask, Qeshm dan Sirik.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Tehran dan Washington terus meningkat selepas siri serangan balas yang dilancarkan kedua-dua pihak sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa pasukan tenteranya telah melancarkan beberapa lagi serangan yang disifatkan sebagai tindakan mempertahankan diri terhadap pelbagai sasaran di Iran.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menjadi pintu keluar utama bagi eksport minyak mentah dari negara-negara Teluk ke pasaran antarabangsa.

Sebarang gangguan terhadap laluan tersebut berpotensi memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran minyak dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button